MobiCow

Tuesday, May 18, 2010

Kisah Si Isteri Empat

"Pada zaman dahulu kala, terdapatlah seorang kaya yang beristeri empat. Dia ini kira ikut benarlah sunat Rasulullah sebab musabab beristeri ni.

Isteri pertamanya sudah tua, rupa pun dah kurang cantik, maklumlah, kedut sana kedut sini, gelembir sana gelembir sini, kecut sana kecut sini, kata orang sekarang dah tak ngam dah. Jadi isteri ini kurang diberi perhatian kerana sudah tua. Isteri ini juga jarang diberikan nafkah baik zahir atau pun batin. Pendek kata dia tidak bertanggungjawab sepenuhnya kepada isteri pertama ini.

Isteri kedua pun lebih kurang sama saja dengan isteri pertama. Pun kurang cantik dan kurang mengancam. Maka selalulah isteri kedua ini diabaikan. Lebih kurang sama saja nasibnya dengan isteri pertama.

Isteri ketiga masih mengancam, pinggang masih ramping, kulit masih tegang, dan isteri ini selalulah dikunjungi oleh si suami tadi. Maka manjalah isteri ketiga ini bukan main, maklumlah, kata orang "bermanja pada yang sayang". Maka banyaklah duit si kaya tadi dihabiskan untuk isteri ketiga ini.

Isteri keempat baru belasan tahun. Cantiknya usah di kiralah. Badannya amat gebu sekali. Tiada kedut sana kedut sini, tiada gandut sana gendut sini. Lenggangnya pun amat mengancam. Pendekata sisuami cukup risau kalau isteri keempat ini berjalan berseorangan. Maka amat sayanglah dia kepada isteri keempat ini dan sering dibawa kemana saja dia pergi. Maklumlah, takut orang lain kebas. Maka kebanyakan masa dan duitnya habis untuk isteri pertama saja…

Maka pada suatu hari , si suami jatuh sakit dan doktor kata umurnya dah tak panjang. Cuma tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum dia menemui Allah. Maka risaulah si suami ini akan perihal isteri-isterinya yang akan ditinggalkan, terutama isteri ketiga dan keempat. Masih belum puas rasanya dia hidup bersama isteri ketiga dan keempat itu.

Lalu dia pun memanggil isteri-isterinya seorang demi seorang untuk bertanyakan soalan yang sama saja iaitu " Jika aku mati, mahukah kamu ikut bersama-samaku ke dalam kubor? "

Jawab isteri keempat. "Saya masih cantik bang, ramai pemuda yang masih inginkan saya. Saya kawin dengan abang pun kerana abang banyak harta. Kalau abang mati, dengan cepat saya boleh kawin lain. Takkan saya nak ikut abang ke kubor? Abang tinggallah dalam kubor tu sendirian manakala saya akan menikmati kehidupan ini bersama suami baru yang lebih muda". Hampa rasanya si suami mendengarkan kata-kata isteri keempatnya itu.

Berkata pula isteri ketiga. "Saya pun masih cantik abang. Kalau abang mati saja, saya rasa saya akan bertemu jodoh dengan orang lain. Mungkin saya agak tua untuk dapatkan anak teruna, tetapi kalau nak dapatkan duda rasanya tak ada masalah. Jadi, tak mungkin saya akan ikut abang ke kubor kerana saya masih muda dan boleh menikmati hidup ini dengan suami baru. Abang tinggallah dalam kubor itu sendirian. Selamat tinggal abang". Dah dua kali hampanya hati sisuami tadi.

Jawab pula isteri ketiga. "Saya ini dah agak tua abang. Takkan ada orang yang mahukan saya lagi, tapi saya tak rela ikut abang ke dalam kubor kerana harta yang abang tinggalkan banyak lagi. Belum puas rasanya saya hidup dan lepas abang meninggal bolehlah saya hidup senang dengan harta peninggalan abang. Saya tak akan ikut abang masuk ke kubor, tetapi sekali sekala saya akan datang dan menziarahi kubor abang dan menghadiahkan fatihah dan yasin untuk abang." Lega sedikit hati si suami yang tenat tadi.

Isteri pertama dengan menangis teresak-esak menjawab. "Jika di takdirkan Allah, saya mati bersama-sama abang, saya rela mengikut abang bersama-sama ke dalam kubor. Saya telah hidup dengan abang begitu lama dan saya cukup bahagia walaupun abang mengabaikan saya. Abanglah satu-satunya suami untuk saya di dunia dan di akhirat. Saya redha mati bersama-sama abang jika ditakdirkan. Saya pun dah cukup bahagia hidup bersama abang dan rasanya saya tidak kerugian apa-apa jika mengikut abang ke dalam kubor". Sejuk sungguh rasa hati si suami mendengarkan kata-kata isteri pertama tadi. Barulah dia tahu isteri mana yang paling baik dan yang mana pula paling tak berguna. Dia menyesal kerana memberikan kasih sayang kepada isteri yang tak sepatutnya dibelai.

Itu Cuma adalah kiasan sahaja. Isteri keempat adalah umpama harta benda kita. Kita amat sayang akan harta kita, malah kita bekerja bermati-matian mencari harta. Kita sanggup mati hatta mengumpul harta benda. Harta bendalah yang paling kita sayang tetapi ingatlah harta itu tidak mengikut kita ke dalam kubor. Sebaliknya bila kita mati, harta itu menjadi kepunyaan orang lain pula. Rugilah manusia yang mengabdikan diri kepada harta.

Isteri kedua umpama pangkat dan darjat. Ramai juga yang bekerja begitu kuat untuk mendapatkan pangkat dan gelaran. Ada bergelar Tun, Tan Sri, Datuk dan sebagainya dengan pembagai bintang disematkan dibaju. Tapi sayang apabila mati, pangkat dan bintang itu akan ditinggalkan. Pangkat dan bintang itu tidak dapat memberikan satu pun menfaat untuk kita di dalam kubor. Jadi bekerjalah dengan ikhlas tanpa memikirkan tentang pangkat dan gelaran yang tak kemana. Rugilah lagi manusia yang bermati-matian untuk pangkat.

Isteri ketiga umpama sanak saudara. Kita juga menyayangi mereka tetapi ingat, mereka juga akan kita tinggalkan sebaik sahaja jasad kita ditimbus di dalam kubor. Mereka bolehlah sekali sekala datang melawat kubor kita dan mensedekahkan fatihah dan yasin untuk kita. Mereka juga bolehlah berdoa untuk kita di alam kubor, tetapi mereka tetap kita tinggalkan.

Isteri pertama ialah amalan kita yang akan kita bawa kemana saja kita pergi hatta sampai kealam akhirat. Amalan kitalah yang akan membela kita di depan Allah. Amalan kitalah yang akan memberatkan timbangan dan memungkinkan kita dirahmati Allah. Tetapi berapa ramai di antara kita yang bermati-matian untuk beramal? Berapa ramai di antara kita yang sangup berjaga malam berqiamulail untu mengabdikan diri kepada Allah? Berapa ramai pula yang tak bakhil untuk menginfakkan harta kita di jalan Allah? Jawabnya tentu tak ramai. Tapi ingatlah, amalan kita yang kita kurang ambil perhatian itulah yang akan mengikut kita ke dalam kubor.

Jadi ambillah iktibar. Kurangkan mengejar harta dan pangkat, tetapi kejarlah dan berlumba-lumbalah untuk beribadat kepada Allah. Sesungguhnya dengki yang paling baik ialah dengkikan orang yang kuat beribadat dan ini mendorong kita untuk berlumba-lumba dengannya untuk menambahkan amalan kita.

No comments: